Get Adobe Flash player

DATO' HAJI TALIB BIN ABU merupakan  seorang Pegawai Kanan Kerajaan Johor yang bergiat dengan gigih secara berterusan dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan kerja-kerja sukarela. Pada 1962, beliau menubuhkan Persekutuan Ibu Bapa Melayu Johor cawangan Batu Pahat (PIBMJ). Beliau menyeru dan menyatukan ibu bapa Melayu di seluruh negeri bagi memperjuangkan pendidikan anak-anak bangsa. Selain itu, beliau turut menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya ekonomi dalam hidup orang Melayu.

(Sumber: Mohammad Razi Abdurl Rahim. 2006. Johor Mengenang Sumbangsihmu)

TAN SRI HAJAH ZAINON SULAIMAN atau lebih dikenali sebagai ‘Ibu Zain’ merupaka pengasas pendidikan bagi wanita Melayu, tokoh guru kebangsaan, tokoh penulis dan tokoh politik negeri Johor. Beliau pernah menubuhkan dan menjadi Yang Dipertuan Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu Negeri Johor. Beliau turut menerbitkan sebuah majalah wanita bernama ‘Bulan Melayu’. Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan seorang diri.

(Sumber: Siti Patonah Muashat. 2012. Pengemudi Bahtera Merdeka Johor)

DATO’ SERI AMAR DIRAJA ABDUL RAHMAN ANDAK ialah wira Johor yang secara senyap-senyap memberikan sumbangan besar mempertahankan maruah dan jati diri Johor dalam mengahdapi serangan hebat penjajah Inggeris terutama dalam bidang politik, budaya dan identiti. Beliau pernah menjadi Setiausaha Sulit Sultan (Maharaja Abu Bakar). Baginda sultan sentiasa dibantu dan mendapat nasihat daripada beliau dan beliaulah yang menentang tindakan British untuk meletakkan seorang Residen British di Johor.

(Sumber: Kamdi Kamil. 2012. Pengemudi Bahtera Merdeka Johor)

TAN SRI DATO’ MELAN BIN ABDULLAH seorang patriotik dan pejuang terbilang yang mengabdikan diri dalam bidang kewartawanan dan persuratan untuk kepentingan Negara. Apabila Dato’ Onn Ja’afar keluar dari UMNO, Melan Abdullah adalah orang yang ditugaskan oleh Abdul Razak Hussein untuk meyakinkan Tunku Abdul Rahman Putra bagi memgang pucuk pimpinan UMNO. Dengan kebijaksanaannya, Tunku yang enggan menerima, akhirnya menukar pendirian dan bersetuju menerajui UMNO. Beliau individu yang bertanggungjawab membangunkan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu hingga menjadi syarikat akhbar berbahasa Melayu yang utama di Malaysia.

(Sumber: Ismail Adnan. 2003. Tokoh Ternama Johor)

DATO’ EMBONG BIN YAHYA terkenal sebagai seorang penulis yang telah memberi sumbangan menyeluruh dalam perkembangan Sastera Melyau sebelum Perang Dunia Kedua. Selain menghasilkan sajak, cerpen dan novel, beliau merupaka orang pertama memperkenalkan tradisi kritikan sastera terhadap genre cerpen di Malaysia. Penguasaan yang baik dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu mengheret beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (1962) sebagai pengarang. Jawatan tertinggi dalam kerajaan yang disandang beliau ialah Timbalan Menteri Penerangan mulai pada 16 September 1980 hingga akhir hayatnya pada 1982.

(Sumber: Ismail Adnan. 2003. Tokoh Ternama Johor)

HAJI MARGONO SITIR ialah seorang dalang wayang kulit yang pernah menerima Hadiah Penghargaan Penggerak Budaya Johor (1991). Beliau bukan sahaja terkenal sebagai guru wayang kulit dan gamelan beliau juga berjasa dalam mempopularkan angklung di Batu Pahat  dan tempat-tempat lain. Beliau sendiri dengan cermat dan halus membuat peralatan muzik tersebut. Permainan wayang kulit dan kuda kepang di Johor masih membawakan unsur-unsur serapah dan jampi dan Pak Margono masih terikat dengan ritual ini.

(Sumber: Ungku Mohd. Zaman Mohd. Tahir. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

 

HAJI AHMAD BIN ABDUL RAHMAN amat terkenal kerana beliau merupakan tokoh yang memberikan sumbangan yang besar memperjuangkan nasib kaum guru terutama mereka bukan lulusan maktab. Melalui Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Kebangsaan (KKGSK) beliau dengan berani dan lantang menyuarakan kepentingan dan kedudukan guru. Beliau juga pernah terpilih menjadi presiden pertama Kesatuan Perkhidmatan Pelajaran Kebangsaan yang menggabungkan KKGSK dengan National Union of Teachers (NUT).

(Sumber: Ismail Adnan. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

TAN SRI DATO’ HAJI REDZUAN SALIM boleh dianggap sebagai seorang yang berjaya dalam dua bidang yang berlainan iaitu politik dan perniagaan. Dalam bidang politik, keupayaannya memegang tampuk kepimpinan di peringkat Bahagian UMNO dan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor selama 3 penggal berturut-turut. Dalam bidang perniagaan, beliau telah menerajui beberapa buah syarikat, antaranya Plantation and Development (M) Berhad, yang berjaya menduduki papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur.

(Sumber: Mohd. Said Jamhari. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

KHADIJAH BTE SIDEK adalah nama yang tidak asing dalam sejarah tanah air. Beliau telah memainkan peranan yang jelas sebagai pemimpin wanita UMNO dan PAS. Perjuangannya dalam mengangkat kedudukan wanita dalam bidang politik dianggap mencabar kebiasaan dan lumrah bagi seorang wanita. Beliau ialah tokoh wanita yang pertama dan terakhir menjadi calon pilihanraya PAS. UMNO dan PAS memberinya ruang tetapi tidak sampai memberi keutamaan kepadanya. Kegagalan beliau ketika itu, dalam meletakkan kedudukan wanita setaraf dengan status lelaki dalam politik Melayu bukan bererti beliau tidak bermakna dalam sejarah perjuangan bangsa.

(Sumber: Ramlah Adam. 2003. Tokoh Ternama Johor)

 

HAJI ABAS SAHIDIN merupakan seorang Ketua Kampng yang menguasai banyak kemahiran. Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan, termasuk dalam pasukan Home Guard, Bulan Sabit, dan Rela. Dalam bidang sukan, beliau pernah menjadi pengadil bola sepak, sepak takraw dan permainan gasing. Be;iau juga telah berkhidmat sebagai Pengerusi, Persatuan Ketua Kampung Johor, Yang Dipertua Persatuan Imam dan Bilal Johor, Pengerusi RELAWAN Johor dan Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Johor.

(Sumber: Sahgidon Dirhan. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

 

TAN SRI ABDUL KADIR YUSOF merupakan orang pertama yang mencipta pelbagai sejarah dan melakukan perkara luar biasa. Beliau ialah anak Melayu pertama memegang jawatan Peguam Negara selain merupakan pasangan yang pertama bersama-sama isterinya (Tun Fatimah Hashim) sebagai menteri dalam kabinet kerajaan Malaysia. Selepas bersara daripada jawatan Peguam Negara (1969), beliau dilantik sebagai senator dan pada Julai 1969 telah dilantik semula sebagai Peguam Negara sekaligus menjawat jawatn Menteri Undang-Undang.

(Sumber: Kamdi Kamil. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

HAJI ABU BAKAR HASSAN atau lebih dikenali sebagai Haji Abu Bakar Alim ialah pemimpin agama yang amat berpengaruh di daerah Muar dan sekitarnya pada masa sebelum Perang Dunia Kedua dan beberapa ketika selepasnya. Beliau mengajar di surau dan masjid serta memegang jawatan Kadi Muar. Ketokohannya terletak pada ilmu dan dedikasinya; bagi golongan kaum tua, Haji Abu Bakar ialah juaranya, benteng pertahanan pemikiran golongan kaum tua menghadapi serangan golongan kaum muda.

(Sumber: Norashid Mohamed Yassin. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

PAK LOMAK atau nama sebenarnya Musa bin Yusof merupakan seorang tokoh pejuang Johor kerana sumbangannya dalam perkembangan ghazal sebagai seni muzik yang menjadi identity kebudayaan Johor. Selain itu, sumbangan Pak Lomak dalam pembangunan negeri Johor tidak terbatas dalam perkembangan seni muzik ghazal semata-mata. Beliau juga adalah seorang pegawai tentera yang berdedikasi dalam Pasukan Askar Negeri Johor, penggiat drama bangsawan, penulis dan ahli bahasa yang berwibawa. Sehingga akhir hayatnya Pak Lomak adalah Setiausaha Pakatan Bahasa Melayu Pesuratan Buku Diraja Johor (PBMPB) di bawah pimpinan Mejar Dato’ Haji Mohd. Said Sulaiman.

(Sumber: Haji Ismail Adnan. 2003. Tokoh Ternama Johor)

DATO’ SYED ESA BIN ALWEE merupakan antara tokoh Melayu terawal terlibat dalam pembangunan dan perkembangan pendidikan di Johor. Beliau juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan penubuhan Pasukan Pengakap Johor. Dalam perjuangan politik, Syed Esa bersama-sama dengan Dato’ Onn merupakan pengasas Pergerakan Melayu Semenanjung, Petubuhan Melayu Bersekutu atau United Malayan Organization (U.M.O) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO.

(Sumber: Haji Mohammad Razi Abdul Rahim. 2003. Tokoh Ternama Johor)

SALLEH MOHAMMAD atau ‘Salleh Arkitek’ merupakan anak Melayu yang bertanggungjawab merekabentuk Johor Tower yang dibina pada tahun 1950-an yang terletak di pinggir Selat Tebrau, Johor Bahru. Beliau juga bertanggungjawab membuat reka bentuk bangunan-bangunan sekiatr Johor Bahru seperti Tugu Peringatan, Istana Tengku Abdul Rahman Bendahara, Bangunan Pemeriksaan Kastam (di Tambak Johor) dan lain-lain. Beliau pernah mereka bentuk astaka untuk Musabaqah Membaca Al-Quran Antarabangsa (1962). Setelah bersara, beliau terus menabur bakti kepada masyarakat melalui kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, terutama dari segi memanfaatkan kepakarannya dalam bidang reka bentuk melalui penglibatannya dalam pameran, penyediaan pelan bangunan, rekaan logo dan sebagainya.

(Sumber: Ismail Adnan. 2004. Pengukir Nama Johor.)

TUN DR ISMAIL DATO’ ABDUL RAHMAN merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak. Pada tahun 1953, beliau melibatkan diri sepenuh masa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air melalui UMNO yang dipimpin oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra. Beliau telah dilantik menjadi menteri dalam kabinet Kerajaan Persekutuan pada 1 November 1953 sebagai Menteri Hasil Bumi. Beliau juga menyertai rombongan Ketua Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra ke London kerana rundingan tentang kemerdekaan.

(Sumber: Abdullah Dato’ Mohd Noor. 2012. Pengemudi Bahtera Merdeka Johor.)

TUN HUSSEIN ONN ialah Perdana Menteri Malaysia yang ke-3. Beliau dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru. Beliau dikenali sebagai ‘Bapa Perpaduan’. Seperti bapanya Dato’ Onn bin Ja’afar, Hussein Onn juga adalah salah seorang pengasas UMNO. Beliau bersama-sama bapanya turut menentang Malayan Union. Tun Hussein Onn menyedari sebagai sebuah pertubuhan politik yang baru (UMNO), setiap tindakan mestilah selaras dengan agenda. Dalam persidangan Perwakilan Perikatan Pemuda UMNO (4 Februari 1950), pergerakan pemuda telah menukarkan cogan kata ‘Hidup Melayu’ kepada slogan ‘Merdeka’. Slogan ini saja telah membantu menyemarakkan lagi perjuagan untuk menuntut kemerdekaan daripada jajahan Inggeris.

(Sumber: Shapiai Muhammad Ramly. 2012. Pengemudi Bahtera Merdeka Johor)

DATO’ HAJI ABDUL RAHMAN MUSA dilahirkan di Johor Bahru pada 13 Mei 1910. Beliau ialah seorang bekas pegawai tinggi kerajaan negeri Johor yang banyak berjasa kepada rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Johor khasnya. Beliau aktif membantu Dato’ Onn Ja’afar menjalankan kegiatan menentang Malayan Union. Beliau juga sentiasa berdamping dengan Dato’ Onn kerana beliau telah dilantik menjadi setiausaha sulit Dato’ Onn. Beliau terus berjuang untuk membela orang-orang Melayu dan menyatukan orang-orang Melayu diseluruh Tanah Melayu.

(Sumber: Razikan Tahir. 2005. Johor Mengabadikan Baktimu)

DATO' ONN JA'AFAR merupakan Menteri Besar Johor yang ke-7 (1946-1949). Beliau dilahirkan di Bukit Gambir, Johor Bahru pada 3 Februari 1895. Beliau ialah tokoh utama orang Melayu dan Tanah Melayu yang secara langsung terlibat dan mempengaruhi  arah dan corak politik Tanah Melayu. Beliau seorang nasionalis Melayu dan ahli politik Melayu yang memimpin orang Melayu dalam gerakan menentang Malayan Union dan mendesak kedudukan politik dan pentadbiran yang lebih baik bagi orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. Beliau merupakan pemimpin politik dan pentadbir yang kanan dalam perkembangan politik Tanah Melayu sebelum merdeka.

(Sumber: Ramlah Adam. 2005. Dato’ Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan)

  • image
  • image
  • image
Previous Next

Selamat Datang Ke Laman Warisan

 

LAMAN WARISAN ini diwujudkan dengan tujuan untuk memelihara warisan sejarah, seni dan budaya negeri Johor dengan adanya kesedaran kerajaan, penggerak seni dan orang ramai yang mahu melihat khazanah Melayu tidak pupus dan terhakis dalam arus pembangunan.

Penerbitan LAMAN WARISAN ini dapat memberi pendedahan kepada umum tentang apa jua bentuk warisan seperti sejarah, kebudayaan, seni visual dan budaya Melayu di negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya agar semua golongan masyarakat mampu memahami dan menilai erti WARISAN BUDAYA BANGSA.

Bersesuaian dengan motto "Memelihara Warisan Budaya", Yayasan Warisan Johor telah diberi tanggungjawab bukan sahaja untuk memelihara, bahkan menentukan kelangsungan warisan budaya bangsa dapat diangkat hingga keperingkat global.

Berita

Majlis Perasmian Pameran Seni Visual 2014

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, satu pameran bertemakan Warisan dan Budaya telah diadakan di Galeri Seni Johor . Pameran Koleksi Seni Visual Yayasan Warisan Johor : Warisan dan Budaya merupakan himpunan sebanyak 46 karya seni visual meliputi 34 buah karya dalam bentuk catan, 7 arca, 5 batik dan cetakkan bertemakan warisan budaya telah dikumpulkan sejak tahun 1998.

Read more...

Pelancaran Anugerah Lagu Patriotik Johor

Yang Berhormat Datuk Zulkurnain Kamisan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Anugerah Lagu Patriotik yang berlangsung pada Ahad, 2 Mac 2014 bertempat di Dewan Muzium Tokoh Johor.

Anugerah Lagu Patriotik Johor anjuran bersama Yayasan Warisan Johor dan Unit Media dan Komunikasi, Pejabat Menteri Besar Johor mempertandingkan tiga kategori iaitu:

-           Mencipta Lagu Patriotik

-           Koir Lagu Patriotik

-           Band Lagu Patriotik

Read more...

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Yayasan Warisan Johor Tahun 2014/1435H

Sekali lagi “Wassatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ menjadi tema bagi Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2014/1435H. Yayasan Warisan Johor telah meraikannya di peringkat jabatan pada Khamis, 27 Februari 2014 bertempat di Dewan Seni Persembahan.

Majlis bermula dengan perarakan dan selawat oleh pengarah dan seluruh kakitangan Yayasan Warisan Johor dari dataran bangunan JKR 303 menuju ke Dewan Seni Persembahan JKR 676, Jalan Mariamah.

Read more...

Pelancaran Pertandingan Melukis Peringkat Remaja Negeri Johor ke-8 ‘Rakyat Dan Raja Berpisah Tiada’

Galeri Seni Johor  telah melancarkan Pertandingan Melukis Peringkat Negeri Johor ke - 8 yang bertemakan ‘Rakyat dan Raja Berpisah Tiada’ pada Isnin, 24 Februari 2014.

Majlis pelancaran disempurnakan Yang Berhormat Datuk Zulkurnain Kamisan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor diriingi Tuan Haji Muhamad Fuad Radzuan, Pengarah Yayasan Warisan Johor.

Read more...