![]() | Today | 112 |
![]() | Yesterday | 266 |
![]() | This Week | 1947 |
![]() | This Month | 8056 |
![]() | All Days | 147387 |
Festival Zapin Nusantara III
| Article Index |
|---|
| Festival Zapin Nusantara III |
| Perutusan MB Johor |
| Kata Sambutan |
| Kata Alu-aluan |
| Kumpulan-kumpulan Peserta |
| All Pages |

Mengimbau Sejenak Festival Zapin Nusantara
Negeri Johor Darul Ta’zim amat sinonim dikaitkan dengan seni tari Zapin. Ada yang menggelarnya Jipin, Jepin/ Dana dan Zafin, namun pada hakikatnya seni ini lahir daripada induk yang sama. Seni tari ini dikatakan mempunyai urutan sejarah dari Arab Hadrahmaut, hidup subur di beberapa kawasan sekitar Nusantara antaranya di Indonesia, Brunei, Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak) serta Singapura, dan telah melalui pelbagai proses asimilasi sehingga terpisah jauh daripada induk asalnya. Atas kesedaran bahawa seni tari ini harus dilindung dan dipelihara, Kerajaan Negeri Johor telah mengangkat dan memartabat seni tari Zapin sebagai kesenian dan khazanah kejatidirian negeri Johor.
Bermatlamat menghimpunkan para aktivis, pengamal dan pengiat seni tari Zapin, Kerajaan Negeri Johor telah menganjurkan Festival Zapin Nusantara buat julung kalinya pada tahun 1998 melibatkan para peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Pada festival yang telah berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober 1998 bertempat di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor (kini Stadium Bandaraya Johor Bahru) itu, berlangsung juga sesi seminar dan bengkel yang diadakan di Hotel Grand Continental Johor Bahru. Seramai dua puluh enam orang pemakalah telah membentang kertas kerja dan hasil daripada pembentangan-pembentangan itu, sebanyak dua puluh kertas kerja telah dipilih dan dibukukan termasuklah kertas Ucap Utama Persidangan oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor.
Festival Zapin Nusantara II telah diadakan pula pada 31 Julai hingga 4 Ogos 2008 bertempat di lokasi yang sama. Festival kali kedua ini telah menarik penyertaan sebanyak lima belas kumpulan terdiri daripada Malaysia, Singapura dan Indonesia. Sebagai pengisian kepada Festival Zapin Nusantara kali kedua ini, selain persembahan Zapin pada malam 2 dan 3 Ogos 2008, berlangsung juga sesi Sembang Zapin, Bengkel Zapin dan Bengkel Muzik Zapin bertempat di Hotel New York Johor Bahru pada siang harinya. Kemuncak Festival Zapin Nusantara II telah ini diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor, dan isteri YAB Profesor Datin Paduka Dr. Jamilah Bte. Ariffin ke Persembahan Zapin pada malam 2 dan 3 Ogos 2008.
Walaupun Festival Zapin Nusantara II dapat dianjurkan hampir sepuluh tahun selepas tahun 1998, namun sebenarnya Kerajaan Negeri Johor terus melaksana pelbagai usaha memelihara dan memulihara warisan bangsa ini. Sebagai contoh, Festival Zapin Johor telah dianjurkan pada tahun 1998, 1999, 2000, 2001, 2002 dan 2004, serta Pertandingan Zapin Johor pada tahun 2008.
Tahun 2011 melakar sejarah negeri Johor dan Stadium Bandaraya Johor Bahru kerana sekali lagi menjadi tuan rumah dan saksi kepada Festival Zapin Nusantara kali yang ketiga. Sebanyak lapan belaskumpulan terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura telah diundang bagi memeriahkan festival ini. Daripada jumlah itu tujuh kumpulan merupakan kumpulan peserta dari Malaysia, tujuh kumpulan (Indonesia) dan empat kumpulan (Singapura). Sepanjang berlangsungnya Festival ini, para peserta akan mengikuti sesi Sembang Zapin, Bengkel Zapin dan Bengkel Muzik Zapin pada sebelah siang 15 dan 16 Oktober 2011, serta mempersembahkan kepelbagaian variasi tarian Zapin, busana serta muzik Zapin pada sebelah malamnya.
Kemuncak Festival Zapin Nusantara III turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor serta isteri, YAD Profesor Datin Paduka Dr. Jamilah Bte. Ariffin, sekaligus merasmikan Festival Zapin Nusantara III pada 16 Oktober 2011, jam 8.30 malam bertempat di Stadium Bandaraya Johor Bahru, Johor.











