Pengenalan YWJ

 

Latar Belakang

Yayasan Warisan Johor ditubuhkan pada 17 Disember 1988 di bawah Enakmen No. 7 Tahun 1988, Enakmen Yayasan Warisan Negeri 1988, bertujuan untuk memelihara warisan budaya dan sejarah negeri Johor dan membuat peruntukan-peruntukan berkaitan dengannya.

Sejarah Penubuhan

Yayasan Warisan Negeri Johor secara rasminya telah wujud pada 11 Oktober 1988 apabila Enakmen Yayasan Warisan Negeri 1988 telah diluluskan oleh Dewan Negeri Johor. Yayasan Negeri ini ditubuhkan dengan tujuan untuk memelihara warisan budaya dan sejarah negeri serta membuat peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengannya.

Pada tahun 1989 pejabat sementara Yayasan di bangunan Perbadanan Perpustakaan Awam di Jalan Gertak Merah telah berpindah ke Bangunan Dato’ Jaafar yang beralamat JKR 514 Jalan Yahya Al-Datar, Bukit Senyum, Johor Bahru. Kini Yayasan Warisan Johor telah mempunyai bangunan pentadbiran sendiri yang terletak di JKR 293 Jalan Mariamah, Johor Bahru.

Pada peringkat awalnya kegiatan Yayasan lebih banyak ditumpukan terhadap kerja-kerja untuk mengenal pasti tapak-tapak sejarah yang terdapat di negeri Johor untuk dimajukan atau dibangunkan semula bersama Muzium Negara. Sebidang tanah untuk dijadikan tapak Muzium Sejarah di Kota Tinggi telah dapat diperolehi, begitu juga dengan kawasan sejarah di Pagoh Muar.

Bangunan-bangunan bersejarah yang utama telah diambil ahli oleh Yayasan sebagai langkah memulihara bangunan tersebut. Pertama ialah Bangunan Dato’ Jaafar di Bukit Senyum dan keduanya ialah bangunan bekas kediaman Menteri Besar Johor ketiga iaitu Allahyarham Dato’ Abbdullah bin Jaafar di JKR144 Jalan Petrie, Johor Bahru. Selain itu, dengan kerjasama Profesor Kamaruddin Ali dari Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Yayasan telah dapat mengenal pasti beberapa rumah tradisional Melayu Johor di Daerah Muah, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru untuk dijadikan contoh atau model rumah-rumah tradisional Melayu Johor.

Penglibatan Yayasan dalam kerja-kerja menggali semula khazanah warisan budaya dan sejarah Johor ini amat banyak dan meluas sehingga ke pelusuk negeri Johor. Sebagai contohnya, Bangunan Dato’ Jaafar di Bukit Senyum dan bangunan JKR144 di Jalan Petrie yang sekarang ini sebagai Galeri Seni Johor pada masa itu keadaannya sudah terlalu uzur dan memerlukan peruntukan yang besar bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan-bangunan tersebut.

Usaha-usaha menyelamat warisan sejarah, seni dan budaya Melayu Johor kini sedang giat dijalankan oleh Yayasan Warisan Johor. Empat bahagian telah diwujudkan mengikut kepakaran masing-masing bagi menjalankan tugas memelihara warisan Johor, iaitu Bahagian Permuziuman, Bahagian Pembangunan Seni dan Budaya, Bahagian Persuratan dan Sejarah dan Bahagian Seni Persembahan

(Sumber: Jurnal Warisan Johor, Jilid 1, 1997)

Falsafah

Pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa itu harus seimbang berpaksikan pendekatan holistik dan menyeluruh.

Cogankata

Memelihara Warisan Budaya.

Wawasan

Pemantapan jatidiri Johor melalui pemuliharaan warisan budaya bangsa.

Misi

Memartabatkan warisan sejarah, persuratan, seni dan budaya negeri Johor.

Objektif

  • Untuk menjalankan penyelidikan dan usaha-usaha pemelihraan sejarah, persuratan, seni dan budaya.
  • Untuk mengenalpasti bagi tujuan pengumpulan bahan-bahan yang berkaitan dengan warisan sejarah, persuratan, seni dan budaya.
  • Untuk memelihara secara sistematik dan saintifik warisan sejarah (termasuk tanah, tapak tanah dan monumen sejarah), persuratan, seni dan budaya.
  • Untuk mendokumentasi dan menyebarkan hasilan usaha pemeliharaan warisan sejarah, persuratan, seni dan budaya melalui tugas-tugas pengelasan, pengkatalogan dan penyimpanan data secara sistematik.
  • Untuk membina muzium-muzium yang berfungsiunutk mengenengahkan ciri-ciri sejarah, persuratan, seni dan budaya Johor.
  • Untuk mengolah warisan persuratan, seni dan budaya yang bernilai sejarah sebagai sumber ekonomi.

Fungsi

  • Memelihara, memulihara, mengembang dan menyebarkan maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai warisan sejarah, seni dan budaya Johor.
  • Menjana kesedaran dan kecenderungan orang ramai untuk bekerjasama dan menyokong usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah, seni dan budaya Johor.
  • Memelihara dan memulihara monumen-monumen dan eksibit-eksibit yang berkaitan warisan sejarah, seni dan budaya Johor
  • Mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memelihara semua rekod, dokumen dan data berkaitan sejarah, seni dan budaya Johor.
  • Membuat kajian dan penyelidikan dalam usaha memugar semula warisan sejarah, seni dan budaya Johor.
  • Mengumpul bahan-bahan artifak yang berkaitan dengan warisan sejarah, seni dan budaya Johor.
  • Membina muzium-muzium, pusat-pusat sejarah, galeri seni dan seumpamanya bagi menyimpan dan melestarikan warisan sejarah, seni dan budaya Johor.
  • Menyebar dan mengembangkan ilmu pengetahuan mengenai sejarah, seni dan budaya Johor melalui penerbitan-penerbitan buletin, jurnal, buku, ceramah, kursus, bengkel, seminar dan seumpamanya.