Muzium Kota Tinggi

Galeri Foto


Muzium Kota Tinggi

Bangunan seluas 6,480 meter persegi ini mula dibina pada 14 April 1997 dan telah siap pada 11 Jun 1999. Mula dibuka kepada orang ramai pada 30 Ogos 2002 dan dirasmikan oleh D.Y.A.M. Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor (Sultan Johor pada masa ini) pada 29 Februari 2004 bersamaan 8 Muharam 1425 H bersempena Program Kembara Mahkota Johor. Setelah berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan penyebaran maklumat sejarah selama hampir 10 tahun, Muzium Kota Tinggi telah dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Muzium Kota Tinggi mempunyai signifikan yang amat ketara daripada segi sejarah dan tinggalan sejarah pemerintahan Kerajaan Johor Lama. Lembah Sungai Johor merupakan wadah kesinambungan Kesultanan Melayu setelah gugurnya Melaka pada tahun 1511. Dengan mengambil kira tahun 1529 bermulanya pusat Kerajaan Johor di Pekan Tua (Pasir Raja) dan diikuti oleh Johor Lama dalam tahun 1540 bererti tamadun Melayu telah bertapak di Kota Tinggi selama lebih 400 tahun. Di lembah Sungai Johor inilah lahirnya Tun Sri Lanang Pengarang Melayu tersohor dan terawal menghasilkan Sejarah Melayu, sebuah historiografi Melayu yang agung. Dilembah sungai ini juga dikatakan lahirnya Badang, manusia yang mempunyai kegagahan luar biasa.

Muzium Kota Tinggi (pada awalnya menggunakan nama Pusat Sejarah Kota Tinggi) mula dibina pada tahun 1997. Kerja-kerja binaan telah diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi. Pada 11 Jun 1999 bangunan ini telah sempurna disiapkan dan diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti. Pada 27 Februari 2001 pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti menyerahkan Muzium Kota Tinggi ini kepada Kerajaan Negeri Johor dan diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor.

 

Galeri Virtual 360°

( Untuk kualiti terbaik, sedikit masa diperlukan untuk muat turun fail. Gunakan mouse anda untuk melihat persekitaran.)