Bermalam Di Muzium

“AKHIRNYA!!! MACAM NAK JERIT JE SAMBIL LOMPAT BINTANG!!! “

BERMALAM DI MUZIUM…………………………………….

Penganjuran ‘Program Bermalam di Muzium’ di negara ini telah dipelopori oleh Muzium Negara (MN) bermula tahun 2005 bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara. Program tersebut telah mendapat sambutan yang cukup hangat dalam kalangan peserta sehingga menjadi acara wajib MN saban tahun.

Kejayaan penganjuran program ini oleh Muzium Negara telah merintis pelaksanaan program yang seumpamanya di beberapa buah muzium lain di bawah pentadbiran JMM malah turut tersebar dan menjadi ikutan muzium-muzium lain di seluruh negara khususnya di Melaka.

Pada tahun 2016, JMM buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan “Program Perdana Bermalam di Muzium” secara serentak dengan melibatkan 22 buah muzium di bawah pentadbirannya ketika itu dan berjaya memahat nama dalam Malaysia Books of Records dengan jumlah penyertaan seramai 1573 orang pelajar dari seluruh negara.

Pada tahun berikutnya (2017) program ini diperluaskan lagi menerusi penglibatan bersama Muzium-Muzium Negeri/Swasta/Institusi sehingga berjaya mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records (“Most Number of Participants Overnight Simultaneously for an Educational Programme at the Museum”) dengan jumlah 1959 orang peserta di 32 buah muzium di seluruh Malaysia.

Program ini terus mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan pada tahun ini (2018) apabila jumlah penyertaan muzium di seluruh negara meningkat sebanyak 35 buah muzium dengan jumlah peserta yang juga meningkat mencecah 2583 orang, terdiri daripada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun. Pelbagai aktiviti menarik disediakan di sepanjang 2 hari 1 malam program ini berlangsung.

Pada tahun ini juga, Yayasan Warisan Johor mengambil bahagian secara langsung serta menyambut baik penganjuran bersama ini dimana Yayasan Warisan Johor memilih Galeri Dato’ Onn Batu Pahat sebagai lokasi program ini dijalankan.

Penganjuran bersama muzium-muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium-Muzium Negeri/Swasta/Institusi ini diharap dapat menyebarluaskan lagi fungsi dan peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal dalam kalangan masyarakat serta memperhebatkan kerjasama di semua muzium di seluruh negara ke arah memperkukuh dan memartabatkan industri permuziuman negara.